Mohd Aizam Mas’od
Caw. Aqidah
Bah. Penyelidikan JAKIM
Tiada keraguan bahawa Malaysia ialah sebuah Negara Islam yang berpandukan dasar Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Aqidah, syariah dan akhlak ummah sentiasa dipelihara agar selari dengan prinsip-prinsip yang terkandung di dalam dasar tersebut. Di dalam memandu umat Islam agar sentiasa berada di landasan yang betul, para ulama Ahli Sunnah amat mementingkan pegangan terhadap disiplin ilmu.
Dalam soal menjalankan ibadat, umat Islam telah sepakat bahawa al-Qur’an dan al-Sunnah tetap menjadi dua sumber utama syariat yang wajib ditaati dan diamalkan. Kedua-duanya merupakan perlembagaan yang seharusnya menjadi pedoman dan rujukan oleh umat Islam di persada bumi ini. Fakta ini tidak mungkin dimungkiri oleh sesiapa pun kecuali yang kafir dan munafiq.
Pada asalnya setiap muslim wajib untuk mengambil hukum-hakam Allah SWT secara langsung daripada kedua sumber utama itu. Bagaimanapun realiti membuktikan tidak semua umat Islam mampu untuk mengeluarkan hukum-hakam secara langsung daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Ternyata hanya segelintir yang berkemampuan dan berkelayakan melakukannya seperti imam-imam mazhab yang empat. Imam Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali.
Para ulama Usul bersepakat bahawa orang yang berkemampuan mengistinbat hukum secara langsung daripada sumbernya, wajib berpegang dan mengamalkan hasil ijtihadnya. Mereka tidak dibenarkan sama sekali untuk mengambil hasil ijtihad ulama yang lain. Kewajipan beramal dengan hasil ijtihadnya itu mutlak sama ada ia menepati hakikat sebenar yang dikehendaki oleh Allah SWT mahupun tidak. Apa yang penting seseorang mujtahid itu telah benar-benar memerah segala
keupayaannya untuk memahami nas-nas syara‘ berlandaskan metodologi ilmu yang ditetapkan.
Imam al-Ghazali mengatakan di dalam kitabnya al-Mustasfa: “Para ulama Usul bersepakat bahawa apabila seseorang sudah berijtihad dan telah memperoleh hukum berasaskan dugaannya (zann) yang kuat, maka dia tidak harus lagi bertaqlid kepada mujtahid lain yang menyalahi ijtihadnya. Dan dia tidak boleh beramal dengan ijtihad yang lain serta meninggalkan ijtihadnya sendiri”.
Begitu juga pandangan ahli Usul yang lain seperti Ibn al-Humam. Beliau menyebut di dalam kitabnya al-Tahrir: “Seorang mujtahid apabila telah berijtihad dalam sesuatu hukum, maka ia dilarang untuk bertaqlid dalam hukum itu menurut kesepakatan ulama Usul”.